Thursday, October 31, 2013

Tidur Boleh Menguruskan Badan

Sebagai seorang graduan fizik, saya memang suka membuat pengiraan yang bukan-bukan, contohnya pengiraan kuku yang tumbuh setiap hari, pengiraan bintang di langit, dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, ilmu matematik saya masih di peringkat kanak-kanak lagi, jadi janganlah segan memberi tunjuk ajar.
Kita kerap dengar orang berkata bahawa tidur boleh membuat kita gemuk. Namun, pengiraan menunjukkan sebaliknya. Jika anda menimbang berat badan sebelum dan selepas tidur 8 jam, anda akan mendapati bahawa berat badan anda menjadi ringan selepas tidur.
Kenapa
Image: www.sleepnbeauty.com
Jawapannya mudah sebenarnya. Kita menjadi berat kerana kita makan, betul? Jika tidak makan, maka tiadalah makanan dalam badan kita, logik? Tiada orang akan menjadi gemuk akibat tidak makan. Jika hal ini berlaku maka dunia ini tidak akan dilanda masalah kebuluran. 
Image: wphr.org
Kita biasanya makan selang beberapa jam, biasanya 5~6 jam. Tetapi semasa tidur selama 8 jam, kita tidak menambah apa-apa makanan ke dalam sistem kita. Sebaliknya, kita berpeluh dengan banyak ketika tidur. Menurut satu iklan di TV, manusia menghasilkan kira-kira 300ml peluh setiap malam. 

Selain peluh, air dalam badan turut berkurangan melalui pernafasan. Semasa kita menghirup udara ke dalam badan, udara ini mengandungi wap air yang sedikit. Namun semasa di dalam paru-paru kita, udara ini akan menyerap wap air di dalam paru-paru dan dibawa keluar bersama-sama hembusan nafas. Oleh itu kita akan mengalami kehilangan air yang banyak ketika tidur. Jika udara dalam bilik tidur amatlah kering, contohnya bilik berhawa dingin, maka lebih banyak wap air yang akan dibawa keluar bersama udara hembusan.

Dan faktor yang terakhir sekali juga berkaitan dengan pernafasan kita. Semasa kita bernafas, kita menghirup oksigen. Oksigen memasuki badan kita dan ke dalam paru-paru kita. Dalam paru-paru, oksigen O2 bergabung dengan satu atom karbon untuk menjadi karbon dioksida iaitu CO2. Jadi setiap kali kita menghembus nafas, kita kehilangan karbon dari badan kita, dan setiap hembusan mengandungi 10 bilion trilion atom. Satu atom karbon adalah seberat 12gram per mol, jadi bayangkanlah berapa banyak karbon yang anda hilang melalui hembusan nafas setiap malam.

Ingat, semua air dan karbon yang hilang melalui pernafasan dan perpeluhan semasa tidur tidak ditebus dengan pengambilan makanan, kerana anda sedang tidur nyenyak memimpikan jejaka idaman. Jadi nett result ialah anda akan menjadi kurus jika banyak tidur.  

Malcolm

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...