Friday, April 6, 2012

Cara Menulis Tesis Yang Betul

Ramai di antara kita perlu menulis tesis pada akhir pengajian kita. Tesis merupakan laporan kajian yang kita lakukan terutamanya pada semester terakhir untuk memenuhi kehendak atau syarat kursus universiti.

Namun ramai di antara kita yang selalu menulis yang bukan-bukan dalam tesis, contohnya, mengarang Hikayat Merong Mahawangsa pada tesis fizik adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan, sebab profesor fizik memang tidak berminat pada hikayat tersebut. Mereka lebih berminat dengan Hikayat Sang Kancil dengan Buaya.

Image: fendy1302.blogspot.com
Selain itu, ramai orang selalu menggunakan perkataan yang tidak cukup spesifik dalam tesis mereka. Contohnya, sebagai seorang pelajar jurusan kejuruteraan kimia anda haruslah petah menggunakan perkataan-perkataan seperti bebuli termometer, bikar, penunu bunsen dan asid. Anda haruslah bijak menukarkan kata-kata seharian menjadi ayat seorang ahli kimia: cecair yang telah saya titis dalam tandas tadi berbau seperti amonia dan bukannya air kencing saya tadi berbau tengik!
Image: 123rf.com
Oleh itu, sebagai seorang yang sangat baik hati, saya akan senaraikan beberapa tips-tips untuk membantu anda menulis sebuah tesis yang sempurna.


1) Anda haruslah menerangkan kelebihan kajian anda.
Walaupun sebenarnya kajian anda hanyalah sekadar mengira jumlah nasi lemak yang dijual oleh Pak Abu di perkarangan universiti. Perkataan seperti amat penting, menjanjikan penemuan bersejarah, dan sebagainya pasti akan menarik minat para pembaca. Jika projek anda adalah mengkaji kaedah-kaedah menggosok gigi, tulislah ayat seperti: kajian ini akan membolehkan semua kanak-kanak, orang dewasa dan orang tua di seluruh dunia untuk mengetahui kepentingan menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, dan bukannya tiga kali.


2) Dilarang menggunakan perkataan saya. 
Penulisan tesis amatlah mengelirukan bagi sesetengah orang disebabkan syarat ini. Sains tidak suka melibatkan elemen manusia, oleh sebab itu anda haruslah tulis seolah-olah penemuan sains tersebut tetiba je muncul dengan sendirinya, dan bukannya disebabkan usaha anda. Ingat, bukan saya yang membuat penemuan ini. 


3) Gunakan ayat semi-pasif.
Sesetengah jurnal amat bencikan ayat pasif, tapi sesetengah jurnal hanya mencetak tesis yang ditulis dalam ayat pasif. Sebagai langkah berjaga-jaga supaya tesis anda tidak ditolak oleh mana-mana jurnal, tulislah dalam ayat semi-pasif.

Ayat aktif: kami buat eksperimen ini.
Ayat pasif: eksperimen ini dibuat oleh kami.
Ayat semi-pasif: telah dibuat oleh kami, eksperimen ini.

4) Campakkan segala macam rujukan dalam tesis anda. 
Semakin banyak rujukan, semakinlah pembaca rasakan anda ini orang bijak macam sasterawan negara A. Samad Said. Jika anda tulis banyak kajian telah dijalankan dalam bidang ini, sertakan dengan nombor-nombor rujukan sehingga berderet-deret macam keretapi KTM, seperti banyak kajian telah dijalankan dalam bidang ini [1,3-5,8-12,14,17-19,22-345,78192, 2637184]


5) Pastikan nama anda mudah diingat dan ditulis.
Ingatlah bahawa pembaca tesis anda kebanyakannya merupakan pelajar ijazah dasar yang bakal menjadikan tesis anda sebagai rujukan mereka. Jadi kalau nama anda susah diingat, dan susah ditulis, cuba fikirkan apa akan terjadi? Kalau saya sebagai pelajar ijazah dasar menemui tesis yang pengarangnya mempunyai nama yang pelik dan panjang, saya akan tulis : M.T dan manusia-manusia yang sama species dengannya sebagai pengarang. Sakit hati kan?

6) Mulakan penulisan anda dengan semua orang tahu bahawa....
atau mana-mana ayat yang boleh mempamerkan kebijaksanaan anda yang luar biasa. Kalau boleh, cubalah pijak-pijak maruah para pembaca, atau menghina kebodohan mereka dengan memulakan ayat sebegini saya sebagai makhluk yang terlebih tampan dan bijaksana memang telah tahu bahawa... 

7) Jangan gunakanlah unit SI. 
Unit SI merupakan unit Sports Illustrated yang diperkenalkan di Amerika Syarikat. Sebagai rakyat Malaysia, gunakanlah unit ukuran zaman kesultanan Melaka dahulu iaitu depa, jengkal, dan hasta untuk ukuran anda. Contohnya, cahaya bergerak selaju 300juta depa sesaat.
Image: scribd.com
8) Senarai pengarang.
Kalau projek anda melibatkan beberapa orang pembantu, anda perlu bijak menyenaraikan pengarang nombor 1, pengarang nombor 2, dan sebagainya. Jadikanlah panduan di bawah sebagai pedoman untuk mengatur senarai pengarang:

Pengarang pertama: pelajar yang telah berhempas-pulas menghabiskan eksperimen.
Pengarang kedua: pelajar malas yang fikirkan bahawa dia yang berhempas-pulas menyiapkan eksperimen.
Pengarang ketiga: pelajar ijazah dasar yang membantu mengeringkan bikar.
Pengarang keempat: postdoc yang telah memberikan satu komen yang tidak bernas ketika jamuan makan tengah hari bersama.
Pengarang kelima: Tak tau kenapa tapi.... tulis je Vladimir Putin.
Pengarang keenam: profesor anda yang tidak pernah menjejak kaki ke makmal sejak 15 tahun yang lalu dan beliau jelas tidak tahu dimana letaknya kapur, piring petri, ataupun pintu keluar makmal.

Dengan itu, saya dangan ikhlasnya berharap anda semua akan menjadi seorang penulis tesis yang termasyhur di persada dunia.


Malcolm

2 comments:

  1. lawak sungguh cara hang yang tampan lagi bijaksana menyenaraikan tips :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih Cik Ho yang gigih berusaha mendidik anak muda di negeri Kenyalang.

      Delete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...